Memahami Barah Otak Manusia

Berasal dari sel-sel otak atau dari struktur di sekelilingnya.

Bagaimanakah tumor otak ini diklasifikasikan?

Ia boleh diklasifikasikan sebagai:

1. Tumor Benigna (bukan kanser).
2. Tumor Malignan (kanser).
Terdapat 2 kategori tumor otak

1. Tumor otak primer - tumor ini berasal atau tumbuh dari otak.

2. Tumor otak sekunder (dikenali sebagai metastatik) - ia berasal atau merebak dari bahagian-bahagian badan yang lain seperti paru-paru, buah pinggang, payudara dan kulit.

Apakah faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko tumor otak?
Tidak terdapat faktor-faktor risiko yang jelas di kalangan pesakit-pesakit yang menghidap tumor otak. Dengan mengkaji beberapa kes pesakit tumor otak, didapati sesetengah jenis tumor otak lebih kerap berlaku di kalangan pekerja-pekerja kilang penapis minyak, industri-industri pembuatan bahan-bahan getah dan dadah. Ahli-ahli kimia dan para pengawet adalah antara mereka yang termasuk dalam golongan ini.


Apakah gejala-gejala tumor otak?

Tumor otak akan menimbulkan pelbagai gejala. Ia bergantung kepada bahagian mana ianya berlaku. Sakit kepala merupakan gejala tumor otak yang paling biasa. Gejala-gejala berikutnya mungkin merupakan petanda tumor kerana ia boleh meningkatkan tekanan di dalam otak:

* Sakit kepala yang teruk terutamanya di sebelah paginya berbanding dengan waktu tengah hari.

* Sakit kepala yang berterusan dan diikuti dengan loya dan muntah.

* Sakit kepala yang menjadi semakin teruk ketika batuk, bersin dan menunduk.

Perubahan tingkah laku seperti bersikap 'tidak apa', hilang ingatan, hilang tumpuan dan kekeliruan mungkin merupakan tanda-tanda tumor otak. Ini kerana setiap bahagian otak mengawal fungsi-fungsi tertentu. Jadi, apabila terdapat tumor di sesuatu bahagian maka ia akan mempengaruhi keupayaan fungsi di bahagian tersebut. Bagi sesetengah kes, jika pesakit terjatuh ia boleh mencetuskan sawan yang disebabkan oleh tumor. Pengesanan dan rawatan awal mungkin boleh meningkatkan kadar kemandirian pesakit. Jika gejala masih berterusan berjumpalah doktor pakar neurologi atau doktor pakar kanser.


Bayi yang menghidapi kanser selalunya menunjukkan gejala-gejala berikut :

* Ubun-ubun membonjol (bukaan yang tedapat pada tengkorak disebabkan oleh proses penulangan yang tidak lengkap).
* Lilitan kepala membesar.
* Tidak terdapatnya refleks merah di dalam mata.


Di kalangan kanak-kanak, gejala berikut mungkin berlaku:

* Loya dan muntah.
* Gangguan penglihatan seperti penglihatan berganda, juling, kebutaan.
* Gangguan makan.
* Sebelah tangan menjadi lemah dan kekok.
* Perubahan pada gaya berjalan (berjalan terencot-encot), ataksia (terhuyung-hayang).
* Kesukaran untuk berjalan.
* Keletihan dan terasa lemah badan.
* Peningkatan berat badan.
* Perubahan pada endokrin.


Orang dewasa yang menghidap tumor otak akan menunjukkan beberapa gejala seperti berikut:

* Kerap diserang sakit kepala, loya atau muntah.
* Epilepsi (sawan, kekejangan otot dan tidak sedarkan diri).
* Gangguan percakapan.
* Kesukaran untuk menggerakkan kaki dan tangan.
* Hilang ingatan ke atas hal-hal yang terbaru dan kemorosotan proses mental.
* Hilang penglihatan (terutamanya penglihatan periferi).
* Hilang daya imbangan terutamanya jika ia dikaitkan dengan sakit kepala, kelemahan atau kekebasan sebelah badan.
* Gangguan ingatan atau perubahan personaliti.


Bagaimanakah kita boleh mencegah dari berlakunya tumor otak ini?

Tidak ada sebarang garis panduan atau peraturan untuk mencegah tumor otak dari berlaku. Cuma kita perlu mengawasi gejala-gejala yang timbul yang mungkin menandakan wujudnya tumor di dalam otak. Jika ini berlaku bertindaklah segera dengan berjumpa doktor dan dapatkan pemeriksaan yang diperlukan.

Referensi

0 Response to "Memahami Barah Otak Manusia"

Post a Comment